Sunday 30 June 2013

PRK Kuala Besut bangkitkan kembali isu UG?

Oleh Zulkifli Sulong
Belum cukup 60 hari berehat, Malaysia terpaksa bersedia untuk menghadapi pilihan raya lagi. Dalam masa 60 hari dari sekarang, pilihan raya kecil Kuala Besut, Terengganu akan diadakan. 
Ia terpaksa diadakan ekoran kematian Adunnya, Dr. A. Rahman Mokhtar pada 26 Jun lalu.Ini adalah siri pilihan raya kecil (PRK) yang pertama selepas pilihan raya umum ke 13, 5 Mei lalu.


Ia sangat memenatkan bagi mereka yang terlibat.
Kerusi-kerusi yang terlibat dalam PRK selepas PRU 12 adalah Parlimen Kuala Terengganu (PAS menang), Permatang Pauh (PKR), Bukit Gantang (PAS), Hulu Selangor (BN), Sibu (DAP) dan Batu Sapi (BN).
Kerusi DUN adalah Galas (PAS), Bukit Selambau (PKR), Batang Air (BN), Penanti (PKR),  Manek Urai (PAS), Permatang Pasir (PAS), Bagan Pinang (BN), Tenang (BN), Merlimau (BN), Kerdau (BN).


KRITIKAL


Pilihan raya kecil ini amat kritikal untuk kerajaan negeri Terengganu kerana kini BN mempunyai 17 kerusi manakala Pakatan Rakyat 15 kerusi. 
Dengan kematian Dr Rahman, jumlah kerusi adalah BN 16 dan Pakatan 15.
Jika Pakatan menang dalam  pilihan raya kecil ini nanti bermakna DUN Terengganu akan mempunyai bilangan ahli yang sama antara BN dan Pakatan.
Jika itu berlaku, apa akan berlaku kepada kerajaan negeri Terengganu tidak dapat diramalkan. Ia adalah DUN yang tergantung.
Ekoran itulah, banyaklah suara-suara nakal yang meramalkan akan berlaku UG (Unity Government) antara PAS dan Pakatan Rakyat dengan BN di Terengganu.
Istilah UG sangat sensitif kepada PAS. Ini kerana di dalam PAS ada satu puak yang digelar geng-geng UG. 
Ia tuduhan dilemparkan kepada kumpulan yang mahu diadakan kerjasama antara PAS dengan  Umno dalam membentuk kerajaan selepas pru 12 lalu.
Pelopor golongan ini sudah tidak ada lagi dalam PAS atau tidak aktif lagi.  
UG atau kerajaan perpaduan asalnya satu  gagasan baik dari Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk meredakan kepanasan suasana politik tanah air, namun ia dijadikan isu politik dan tidak boleh dipertahankan kerana salah faham yang berlaku mengenainya.
Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohamad Abdul Wahid Endut dalam sidang medianya selepas mesyuarat Badan Perhubungan PAS Terengganu semalam berkata, tidak mustahil PAS boleh menang dalam PRK Kuala Besut ini.
Ini kerana, PAS pernah menang dua kali di kerusi itu iaitu 1969 dan 1999. Ini bermakna, PAS menunggu 30 tahun untuk menang semula kerusi itu. 
Jika aturan itu sekata, PAS perlu tunggu pilihan raya 1929 untuk menang sekali lagi.
Pada pilihan raya tahun 1999, PAS berjaya memenangi 26 dari 32 kerusi DUN Terengganu termasuk kerusi Kuala Besut. 



Hasilnya Presiden PAS, Abdul Hadi dilantik sebagai MB Terengganu.
Namun kerajaan Terengganu bertahan hanya satu penggal sahaja. Dalam pilihan raya umum 2004, PAS kalah apabila memenangi hanya enam kerusi sahaja. 
Ekoran itulah, Datuk Idris Jusoh (kini Menteri Pelajaran 2) menjadi MB Terengganu.
Idris adalah anggota Parlimen yang juga Ketua Umno Bahagian Besut. Selepas PRU 2008, Idris tidak lagi menjadi MB Terengganu. 
Ini ekoran istana Terengganu tidak berkenan dengan beliau. Ekoran itu terpilihlah Datuk Seri Ahmad Said sebagai MB hingga sekarang.


CALON

Dalam PRU 1999, calon PAS Ustaz Nik Zawawi Salleh menang di DUN Kuala Besut. Selepas itu kerier politik Nik Zawawi meningkat. 
Beliau kini adalah Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS, badan yang tertinggi dalam PAS.
Namun begitu dalam PRU Mei lalu, Nik Zawawi tidak terpilih sebagai calon PAS. 
Difahamkan kerana bantahan pemimpin PAS tempatan yang tidak bersetuju dengan beliau.
Politik PAS sejak dahulu sentiasa panas di Besut. Ada pemimpin PAS yang dilaporkan  pernah ditumbuk kerana berusaha untuk menyelesaikan masalah politik tempatan.
Sebab itulah, dalam pemilihan PAS dua tahun lalu, nama baru naik menjadi Yang Dipertua PAS kawasan. 
Ustaz Wan Azhar, yang baru pulang dari Sabah dipilih menjadi YDP PAS Kawasan.  
Mungkin atas faktor itulah juga calon wanita dipilih dalam pilihan raya umum lalu. 
Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) 5 Mei lalu, calon PAS, Napisah Ismail kalah kepada Allahyarham Dr A Rahman dengan majoriti 2,434 undi. Allahyarham mendapat 8,809 manakala Napisah mendapat 6,375 undi.
Kuala Besut mempunyai jumlah pengundi berdaftar seramai 17,713 orang dengan peratusan 97.9 peratus adalah Melayu, 1.6 peratus Cina dan 0.1 peratus India.
Sekarang, fokus utama untuk menentukan kemenangan mana-mana parti di sini adalah calonnya. Jadi siapakah calon PAS dan Umno dalam pilihan raya umum kali ini?
Bagi PAS sekurang-kurangnya senam nama disebut-sebut bakal dinamakan sebagai calon. Ini kerana, kata putus akhir terletak kepada Majlis Syura Ulama.
Yang pertama adalah Setiausaha Majlis Syura sendiri yang pernah menang PRU 1999 lalu iaitu Datuk Nik zawawi Salleh. 
Ini berdasarkan rekod beliau pernah menang di situ dan anak tempatan.
Yang kedua adalah Napisah Ismail sendiri, bekas calon PAS di situ. 
Namun kekalahan dengan majoriti 2,400 undi agak menyusahkan bagi PAS untuk memilih beliau semula. 
Yang ketiga adalah Ridhuan Mohd Nor, calon PAS Parlimen Besut dalam PRU 13 lalu. 
Beliau juga  Ketua Penerangan Dewan pemuda PAS Pusat. 
Manakala yang keempat adalah YDP PAS Kawasan Besut, Ustaz Wan Azhar. 
Walau beliau juga kalah di DUN Jertih dalam pilihan raya baru-baru ini namun nama beliau tetap popular sebagai pemimpin PAS tempatan.
Turut disebut adalah Ahmad Sabki Yusof, Penolong Setiausaha Agung PAS dan juga Dr Ahmad Samsury Mokhtar, Setiausaha Politik Presiden PAS yang kedua-duanya berasal dari Besut.
Difahamkan, nama Wan Azhar yang paling popular sekarang kerana rumah beliau dan keluarga adalah dalam DUN Kuala Besut walaupun bertanding di Jertih dalam PRU baru-baru ini. Beliau juga mendapat sokongan padu pelbagai golongan di Terengganu termasuk ulama.
Siapa pula calon BN untuk Kuala Besut? Ia satu yang sukar untuk diteka. 
Ini kerana, semua tokoh-tokohnya sudah menang dalam PRU 13 lalu. Cuma isu yang menariknya adalah samada dia orang pilihan  Ahmad Said MB Terengganu atau orang Datuk Idris Ketua Umno Kawasan Besut.


PENGUNDI

Kuala Besut pada asasnya adalah kampung nelayan. Di sini juga terletak jeti bot untuk ke pulau-pulau peranginan iaitu Pulau Perhentian dan Pulau Redang.
Oleh itu, faktor nelayan dan industri pelancongan mewarnai pengundi di kawasan ini.
Satu lagi faktor adalah kakitangan awam. Walaupun Kuala Besut bukan pusat bandar utama untuk daerah Besut kerana pusatnya terletak di Jertih tetapi hampir kesemua pejabat kerajaan negeri dan pusat untuk daerah Besut terletak di Kampung Raja iaitu pekan utama dalam DUN Kuala Besut.
Ini bermakna, pengundi utama yang ada di Kuala Besut adalah nelayan, pegawai kerajaan dan mereka yang terlibat dengan industri pelancongan.
Faktor sempadan dengan Kelantan juga bakal menentukan corak kempen dan isu sepanjang pilihan raya ini. 
Ini kerana Kuala Besut bersempadan dengan Pasir Puteh yang terletak di Kelantan yang ditadbir oleh PAS.
Perlabuhan Tok Bali kini menjadi perlabuhan nelayan yang penting di sebelah pantai timur. banyak bot-bot nelayan laut dalam yang mendaratkan tangkapan mereka di sini.  
Dengan tidak langsung ia akan menjadi faktor juga dalam pilihan raya kali ini.
Pendek kata, pilihan raya kecil kali ini amat penting bagi kedua-dua pihak, Umno dipihak BN dan PAS di Pakatan Rakyat. 
Menang PAS bermakna DUN akan menjadi 16:16. Namun ramai beranggapan, amat sukar untuk PAS menang. 
Tetapi sebagaimana kata Wahid, peluang PAS untuk menang tetap ada jika kena dengan  calon dan strateginya serta usaha kuat dari petugasnya 

--detikdaily

No comments:

Post a Comment