Sunday 30 June 2013

PRK Kuala Besut bangkitkan kembali isu UG?

Oleh Zulkifli Sulong
Belum cukup 60 hari berehat, Malaysia terpaksa bersedia untuk menghadapi pilihan raya lagi. Dalam masa 60 hari dari sekarang, pilihan raya kecil Kuala Besut, Terengganu akan diadakan. 
Ia terpaksa diadakan ekoran kematian Adunnya, Dr. A. Rahman Mokhtar pada 26 Jun lalu.Ini adalah siri pilihan raya kecil (PRK) yang pertama selepas pilihan raya umum ke 13, 5 Mei lalu.


Ia sangat memenatkan bagi mereka yang terlibat.
Kerusi-kerusi yang terlibat dalam PRK selepas PRU 12 adalah Parlimen Kuala Terengganu (PAS menang), Permatang Pauh (PKR), Bukit Gantang (PAS), Hulu Selangor (BN), Sibu (DAP) dan Batu Sapi (BN).
Kerusi DUN adalah Galas (PAS), Bukit Selambau (PKR), Batang Air (BN), Penanti (PKR),  Manek Urai (PAS), Permatang Pasir (PAS), Bagan Pinang (BN), Tenang (BN), Merlimau (BN), Kerdau (BN).


KRITIKAL


Pilihan raya kecil ini amat kritikal untuk kerajaan negeri Terengganu kerana kini BN mempunyai 17 kerusi manakala Pakatan Rakyat 15 kerusi. 
Dengan kematian Dr Rahman, jumlah kerusi adalah BN 16 dan Pakatan 15.
Jika Pakatan menang dalam  pilihan raya kecil ini nanti bermakna DUN Terengganu akan mempunyai bilangan ahli yang sama antara BN dan Pakatan.
Jika itu berlaku, apa akan berlaku kepada kerajaan negeri Terengganu tidak dapat diramalkan. Ia adalah DUN yang tergantung.
Ekoran itulah, banyaklah suara-suara nakal yang meramalkan akan berlaku UG (Unity Government) antara PAS dan Pakatan Rakyat dengan BN di Terengganu.
Istilah UG sangat sensitif kepada PAS. Ini kerana di dalam PAS ada satu puak yang digelar geng-geng UG. 
Ia tuduhan dilemparkan kepada kumpulan yang mahu diadakan kerjasama antara PAS dengan  Umno dalam membentuk kerajaan selepas pru 12 lalu.
Pelopor golongan ini sudah tidak ada lagi dalam PAS atau tidak aktif lagi.  
UG atau kerajaan perpaduan asalnya satu  gagasan baik dari Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk meredakan kepanasan suasana politik tanah air, namun ia dijadikan isu politik dan tidak boleh dipertahankan kerana salah faham yang berlaku mengenainya.
Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohamad Abdul Wahid Endut dalam sidang medianya selepas mesyuarat Badan Perhubungan PAS Terengganu semalam berkata, tidak mustahil PAS boleh menang dalam PRK Kuala Besut ini.
Ini kerana, PAS pernah menang dua kali di kerusi itu iaitu 1969 dan 1999. Ini bermakna, PAS menunggu 30 tahun untuk menang semula kerusi itu. 
Jika aturan itu sekata, PAS perlu tunggu pilihan raya 1929 untuk menang sekali lagi.
Pada pilihan raya tahun 1999, PAS berjaya memenangi 26 dari 32 kerusi DUN Terengganu termasuk kerusi Kuala Besut. 

Kuala Besut kerusi Pas, PKR 'tak faham'


Mustafa Ali
Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali
SHAH ALAM – Pas mendakwa PKR Terengganu “tidak faham” apabila mengeluarkan kenyataan untuk mengetengahkan calon daripada parti itu pada PRK di Dun Kuala Besut ekoran kematian penyandangnya Rabu lalu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali berkata, sebenarnya isu PKR mahu meletakkan calonnya bertanding di kerusi itu tidak sepatutnya timbul.

Lazimnya ujar Mustafa, kerusi yang berlaku kekosongan perlu diserahkan kepada parti yang bertanding di kerusi itu pada PRU.

“Kita lihat dia tak serius dalam memberi kenyataan tersebut. Sebenarnya soal itu tidak berbangkit, isu nak meletakkan calon tersebut.

“Dia tak faham tentang kerusi tersebut,” katanya pada Sinar Harian Online.

Kelmarin, Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail berkata, PKR mempunyai calon berpotensi untuk bertanding di kawasan tersebut yang sebelum ini ditandingi calon Pas, Napisah Ismail.

“Saya yakin Pas akan pertimbangkan calon daripada PKR. Bagi memperbaiki kedudukan di Terengganu, adalah baik Pas beri pertimbangan calon PKR di situ,” katanya.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali semalam berkata, kerusi Kuala Besut pernah dimenangi oleh PKR pada tahun 1999.

Di sebalik kesediaan PKR itu, Pas dari segenap negeri tampil dengan kenyataan sudah siap sedia untuk menggempur kubu BN itu.

Kerusi Dun Kuala Besut diisytiharkan kosong selepas penyandangnya Dr A Rahman Mokhtar dari BN meninggal dunia, 26 Jun lalu akibat kanser paru-paru.

Mengulas lanjut, Mustafa yakin Pas di peringkat negeri telah mempunyai calon yang berkelayakan untuk diletakkan di kerusi Dun Kuala Besut pada PRK akan datang sekali gus menewaskan calon BN.

Bagaimanapun, tambahnya, memandangkan tarikh PRK belum ditetapkan, Pas Pusat masih belum meminta sebarang senarai nama untuk melakukan proses pilihan calon.

“Negeri yang akan cadangkan calon, saya yakin mereka sudah ada nama calon, nanti Pusat akan tapis dan tentukan.

“Setakat ini, negeri pun belum hantar lagi kepada Pas Pusat,” katanya.

Salah SPR jika kedudukan 16-16 - Tuan Ibrahim Tuan Man


Salah SPR jika kedudukan 16-16
PRK KUALA BESUT Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyalahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jika selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut ini Dewan Undangan Negeri Terengganu (Dun) berkedudukan 16-16 sehingga menyulitkan kedudukan kerajaan negeri itu.
Tuan Ibrahim berkata, SPR sendiri yang mengatur kawasan pilihan raya secara genap sehingga memungkinkan kedudukan menjadi seri antara kerajaan dan pembangkang.
“Takdirnya kedudukan menjadi 16-16 selepas PRK nanti, kita salahkan kegagalan SPR kerana mengatur kerusi secara genap. Sepatutnya jumlah kawasan pilihan raya mestilah angka ganjil, baru boleh dapatkan kemenangan,” katanya dalam sidang media sejurus selepas mesyuarat Badan Perhubungan PAS Pahang hari ini.
Kerusi Kuala Besut kosong berikutan kematian Adunnya, Dr A Rahman Mokhtar baru-baru ini. Pada PRU lalu Allahyarham memperolehi 8,809 undi, manakala calon PAS mendapat 6,375 undi.
Kedudukan dalam Dun Terengganu selepas PRU13 lalu hanya berbeza dua kerusi antara BN dan Pakatan Rakyat di mana BN mempunyai 17 kerusi manakala Pakatan 15 kerusi.
Jika calon Pakatan menang dalam PRK Kuala Besut ini bermakna bilangannya akan menjadi sama banyak iaitu 16:16 dalam Dun yang mempunyai 32 kerusi itu.
Tuan Ibrahim berkata, PRK ini bukan sahaja sangat penting dan kritikal kepada kepada PR dan BN, malah tumpuan yang lebih utama ialah kepada SPR sendiri.
“Penting juga bagi rakyat untuk melihat SPR yang mengendalikan PRK tersebut nanti sama ada berkeras untuk menggunakan dakwat kekal yang dianggap kontroversi dan penipuan itu atau bagaimana.
“Bagi kita jika SPR kehilangan idea, kita cadang gunakan inai saja nanti,” katanya.
Sementara itu, Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, berkata PAS negeri ini akan menghantar 1,000 petugas melalui tiga fasa dengan Pengarah Jabatan Pilihan Raya Negeri (JPN) dilantik sebagai ketua kotingen PAS Pahang.
“PAS Terengganu meletakkan PAS Pahang bertugas di unit peti undi (UPU) Kampung Nangka. Peti undi tersebut pernah dimenangi PAS dengan majoriti lebih 700 undi pada PRU 1999. Kerajaan PAS dulu banyak memberikan kelulusan hak milik tanah kepada penduduk.
“Bagaimanapun dari segi peluang PAS Pusat meletakkannya 50:50 berikutan kawasan yang kalah pada PRU lepas ialah di Pulau Perhentian, pesisir pantai dan kem tentera di Gong Kedak sementara kawasan bandar dan pinggir bandar semuanya dimenangi PAS,” ujarnya.
Mengenai isu, Tuan Ibrahim berkata pada masa ini penduduk di Kuala Besut sendiri sudah membangkitkan janji-janji yang dibuat BN semasa PRU dulu.
- Harakahdaily

PRK Kuala Besut Kritikal, Sangat Penting - Azmin



KUALA LUMPUR: PRK Kuala Besut disifatkan pertandingan yang kritikal serta sangat penting kepada Umno-BN dan PR kerana ia mampu menentukan hala tuju pentadbiran kerajaan negeri, ujar Mohamed Azmin Ali.

Sehubungan itu katanya, pertarungan merebut kerusi itu dijangka sengit khususnya parti pemerintah yang akan melakukan apa sahaja untuk mempertahankan kerusi berkenaan daripada dirampas parti lawan.
Apatah lagi, ia melibatkan risiko kehilangan kuasa pentadbiran di negeri itu.

"Bagi Umno, ianya perlu untuk mempertahankan kerajaan negeri, bagi PR ianya amat perlu untuk kita membentuk sebuah kerajaan negeri yang baru selepas PRK itu.

"Sekiranya PR dapat menawan semula kerusi berkenaan kerana kerusi itu pernah dimenangi oleh PKR pada 1999.

"... ianya tidak mustahil untuk PR sekali lagi mewakili kerusi itu pada PRK akan datang," katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui dalam program 'Wacana Ucapan Dasar, Laksana Satu Nyawa' bersama Timbalan Presiden PKR, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas kekosongan kerusi Dun Kuala Besut, Terengganu susulan kematian penyandangnya, Dr A.Rahman Mokhtar dari BN.

Azmin juga tidak menolak kemungkinan PKR akan meletakkan calonnya di kerusi tersebut yang merupakan PRK kali pertama akan diadakan selepas pilihan raya 5 Mei lalu.

Bagaimanapun katanya, keputusan itu hanya akan diketahui selepas satu mesyuarat bersama Majlis Pimpinan PR diadakan dalam masa terdekat.

"Saya yakin kali ini ianya akan menonjolkan satu wakil yang mewakili PR daripada parti yang akan diputuskan oleh Majlis Pimpinan PR.

"Sebarang keputusan yang bakal diambil adalah tertakluk kepada perbincangan dan persetujuan akan dibuat dalam Majlis Pimpinan PR," katanya lagi.

Selain itu, Azmin yang juga ahli Parlimen Gombak turut menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya menggunakan sebaik mungkin platform PRK itu untuk menunjukkan kesungguhan beliau dalam melakukan transformasi pilihan raya di negara ini.

--sinar harian

Saturday 29 June 2013

Kuala Besut talian hayat Pas Terengganu


Samsul Adabi Mamat
Samsul Adabi Mamat
SHAH ALAM - Kekosongan kerusi Dun Kuala Besut berikutan kematian penyandangnya, Dr A Rahman Mokhtar  dilihat memberi talian hayat kepada Pas untuk menawan semula Terengganu selepas tewas pada PRU13.

Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat berkata, Pas berpeluang menawan Dun Kuala Besut, namun bergantung kepada calon diletakkan nanti.

Katanya, Pas perlu letak calon ‘heavyweight’ kerana Dun Kuala Besut kubu kuat Umno dan pastinya BN akan meletakkan calon berwibawa.

“Pergolakan dalam Umno juga mampu beri kelebihan kepada Pas.

"Kita lihat pergolakan ini antara penyebab pada pilihan raya lalu Pas mampu menawan banyak kerusi hingga menyebabkan kedudukan Umno terancam,” katanya.

Selain itu, katanya, sikap pengundi Terengganu yang sering menukar sokongan juga dilihat akan memberi kelebihan kepada Pas dan perkara ini terbukti pada pilihan raya lalu.

Katanya, senario politik di Terengganu juga dapat memberi peluang kepada Pas kerana jika dilihat BN Terengganu lebih kuat pada zaman Datuk Seri Idris Jusoh berbanding di zaman pentadbiran Menteri Besar sekarang, Datuk Seri Ahmad Said.

--sinar harian

PRK: Pas dijangka guna strategi agresif


PRK Dun Kuala Besut
SHAH ALAM – Penganalisis politik menjangkakan Pas akan turun dengan strategi agresif bagi memenangi pilihan raya kecil (PRK) Dun Kuala Besut, Terengganu.

Pensyarah, Universiti Utara Malaysia, Dr Mohd Azizuddin Mohd berkata, strategi itu diambil berikutan PRK itu dapat memberi peluang kepada Pas untuk mengambil alih kerajaan negeri daripada Barisan Nasional (BN).

“Jika Pas menang, kedudukan kerusi akan menjadi 16-16. Kerajaan negeri tidak dapat dibentuk dan kuasa untuk menentukan tampuk pentadbiran negeri terletak kepada sultan.

“Maka, situasi ini beri peluang terbuka kepada Pas. Mereka mungkin mengatur jentera dengan agresif dan memberi tumpuan penuh kepada kempen untuk menang,” katanya.

Bagaimanapun katanya, BN juga pasti perhebat kempen untuk kekal di Kuala Besut.

“Kedudukan amat getir. Jika mereka kalah dan kedudukan kerusi terikat. Mahu tidak mahu, BN perlu menang,” katanya.

-- sinar harian

PKR sedia ketengah calon di Kuala Besut


PKR sedia ketengah calon di Kuala Besut
Azan Ismail
KUALA TERENGGANU – Kekosongan kerusi Dun Kuala Besut menarik perhatian parti politik di negeri ini termasuk PKR, apabila kepimpinan parti di peringkat negeri menyatakan kesediaan kemuka calon bertanding.

Kekosongan kerusi itu berikutan kematian penyandangnya, Dr A Rahman Mokhtar, menyaksikan Terengganu sekali lagi menjadi negeri pertama yang akan mengadakan pilihan raya kecil (PRK) selepas PRU13, 5 Mei lalu.

Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail berkata, PKR mempunyai calon berpotensi untuk bertanding di kawasan tersebut yang sebelum ini ditandingi calon Pas, Napisah Ismail.

“Saya yakin Pas akan pertimbangkan calon daripada PKR. Bagi memperbaiki kedudukan di Terengganu, adalah baik Pas beri pertimbangan calon PKR di situ,” katanya.

Dengan kelebihan dua kerusi diperoleh BN berbanding pembangkang pada PRU13 lalu, Azan tidak menolak keadaan itu akan menjadikan kedudukan BN agak genting.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima notis rasmi daripada Yang Dipertua Dun Terengganu, Mohd Zuber Embong, berhubung kekosongan kerusi itu.

BN dan PR masing-masing akan berhempas-pulas untuk menang di Dun Kuala Besut. Bagi BN, kekalahannya di Kuala Besut akan meletakkannya seri 16-16 dengan PR. Selepas PRU13, BN menang 17 kerusi Dun, sementara PR mempunyai 15 kerusi.

Azan berkata, perkara itu perlu segera agar urusan pentadbiran portfolio Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri disandang Allahyarham Dr A Rahman tidak tertangguh.

“Urusan pentadbiran berkaitan portfolio akan tergendala. Jadi, kerajaan negeri dan SPR perlu ambil tindakan segera untuk selesaikan kerana kedudukan sekarang 16-15,” katanya.

-- sinar harian

Friday 28 June 2013

DUN Kuala Besut adalah yang terkuat – Idris Jusoh (Ahli Parlimen dan Strategis BN di Besut)


Idris Jusoh
Idris Jusoh


















Oleh Hilmi Ali (mohdhilmi@abnxcess.com)
KUALA LUMPUR- Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh yakin Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut akan kekal milik Barisan Nasional.
Keyakinan itu disuarakan beliau memandangkan DUN Kuala Besut merupakan antara kubu yang terkuat di Parlimen Besut apabila memenangi majoriti selesa pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.
“Kalau kita lihat kedudukan kerusi memang kritikal, tapi kerusi Kuala Besut di Parlimen Besut tak kritikal. Kuala Besut adalah DUN terbaik daripada empat DUN di Parlimen Besut dengan majoriti 2,400 undi,” katanya.
Namun katanya, BN perlu bersiap sedia menghadapi PRK yang bakal diadakan, walaupun keyakinan untuk memenangi kembali kerusi berkenaan kepada BN sangat tinggi.
Tambahnya, semalam satu mesyuarat telah diadakan dan mesyuarat susulan akan diteruskan pada Ahad ini berhubung penyelarasan dengan beberapa wakil pusat akan turun memperkemaskan lagi jentera.
“Jika 16-16, speaker akan buat kata putus, tapi bagi saya ianya akan kekal 17-15. Itu kawasan Parlimen saya, saya tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya.
Kerusi DUN Kuala Besut kosong berikutan kematian wakil rakyatnya Dr A. Rahman Mokhtar, 55, pagi semalam akibat kanser paru-paru.
A. Rahman ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri.
Pada PRU13, 5 Mei lepas, Allahyarham mempertahankan kerusi itu bagi Barisan Nasional (BN) setelah mengalahkan calon PAS, Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.
BN memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri apabila memenangi 17 kerusi, PAS menguasai 14 kerusi manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) satu kerusi.

-- ABN News

BN yakin mampu pertahan Dun Kuala Besut

KUALA LUMPUR - BN yakin mampu mempertahankan kerusi Dun Kuala Besut pada pilihan raya kecil berikutan kematian wakil rakyatnya, Dr A. Rahman Mokhtar, semalam.
   
Ketua Umno Bahagian Besut Datuk Seri Idris Jusoh berkata Dun Kuala Besut merupakan kubu kuat BN dan Allahyarham berjaya meraih majoriti lebih 2,400 undi pada PRU13.
   
"Kita yakin dapat mempertahankan Dun Kuala Besut, kita di peringkat bahagian Besut akan membuat persiapan rapi dari segi jentera pilihan raya.
       
"Kita juga akan bermesyuarat minggu ini dengan kehadiran wakil Umno pusat,"  kata Idris yang juga anggota Parlimen Besut ketika ditemui pemberita di luar sidang Dewan Rakyat di sini.
   
Idris, yang juga Menteri Pendidikan Kedua berkata jentera pilihan raya BN peringkat negeri dan pusat akan bekerja keras bagi mempertahankan kerusi Dun Kuala Besut.

"Saya cukup kenal rakyat dan amat memahami kawasan ini...biarkan pakatan pembangkang mahu cakap apa saja, yang penting rakyat tahu jasa BN dan saya cukup mengenali rakyat Dun Kuala Besut," katanya.
   
A. Rahman, 55, meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di Kuala Terengganu pada pukul 10.18 pagi akibat kanser paru-paru.
   
Allahyarham merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri.
   
Pada PRU13, 5 Mei lepas, Allahyarham mempertahankan kerusi itu setelah mengalahkan calon Pas Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.
   
BN memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri apabila memenangi 17 kerusi, Pas menguasai 14 kerusi manakala Parti Keadilan Rakyat satu kerusi. - Bernama