Pengarah pilihan raya Wanita PKR Haniza Talha berkata sayap parti itu sedia meletakkan calon mereka untuk bertanding dalam pilihan raya umum DUN Kuala Besut nanti.
NONEKatanya, Wanita PKR membuat tawaran tersebut sekiranya PAS tidak mempunyai calon untuk merampas kerusi yang dimenangi BN pada pilihan raya umum 5 Mei lalu.
"Kita bercakap dalam konteks Pakatan Rakyat. Jadi rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat bersama-sama bantu untuk memenangkan sebanyak mana kerusi yang boleh dimenangkan.

"Jadi kita tawarkan diri sekiranya calon yang diperlukan tidak ada di pihak PAS, maka kita sedia menghadapi cabaran," katanya dalam satu sidang media di Shah Alam hari ini.

Wanita PKR, katanya, sudah mempunyai ada calon "yang akan memberi kelebihan kepada Pakatan Rakyat", tetapi beliau enggan mengemukakannya sekarang.
Menurutnya, Pakatan Rakyat mempunyai pemimpin Wanita yang berkeupayaan dan Wanita PKR sedia menawarkan diri bertanding sekiranya Pakatan melihat faktor itu mampu memberi kemenangan di Terengganu.

"Wanita yang menggambarkan kasih sayang, prihatin serta meitikberatkan hal berkaitan pembangunan sosial, dan kebajikan akan memberikan kelebihan kepada Pakatan khususnya di Kuala Selangor," katanya.

Mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang mencadangkan supaya rakan sekutu Pakatan memboikot pilihan raya itu sebagai protes kepada SPR, Haniza menyifatkan ia mungkin "pandangan peribadi" Lim.
Tambahnya, perbincangan di Pakatan Rakyat tidak mengambil pendirian tersebut.

Menurutnya, bantahan terhadap sistem pilihan raya itu boleh ditunjukkan dengan pelbagai cara termasuk melalui petisyen, desakan dalam perhimpunan dan juga perbahasan dalam Dewan Rakyat. 

"Sekarang merupakan sidang Dewan Rakyat dan sidang DUN di banyak negeri. Jadi saya nampak banyak saluran, jadi kita perlu beri cabaran ini kepada BN Terengganu, sebab kita lihat Terengganu ada kemampuan tersebut," katanya.

Pada pilihan raya umum lalu, calon BN Datuk A Rahman Mokhtar menewaskan calon PAS Napisah Ismail dengan majoriti undi 2,434 undi. A Rahman meninggal dunia akibat kanser paru-paru pada 26 Jun lalu.

-Malaysiakini