Wednesday 24 July 2013

PRK Kuala Besut: 16:16 meniti di bibir pengundi, positif buat PAS




BESUT: Sehingga jam 12.00 tengah hari ini, pengundi yang keluar mengundi dilihat memberi respons positif kepada calon PAS N.01 Kuala Besut Azlan@Endut Yusof atau Che Long. 

Menurut Pengurus Kempen PRK Kuala Besut,Hanafiah Mat berkata, keseluruhan pengundi di enam unit peti undi yang dilawatinya bersama Che Long memberi sambutan baik dan para pengundi bercakap tentang ‘16:16 Terengganu Baru’ yang menjadi tema kempen PAS di sini.

Katanya, pusat daerah mengundi yang telah dilawati ialah Kampung Baharu, Kampung Nangka, Kampung Nail, Seberang Barat, Seberang Barat Luar dan Tok Saboh.

"Walaupun pengundi-pengundi hadir mendaftar di pondok BN, namun 16:16 itu meniti di bibir mereka, isyarat dan gerak mulut ternyata mereka undi PAS," katanya ketika dihubungi Harakahdaily. Menurutnya, terdapat dua kategori pengundi pada PRK ini iaitu pengundi politik dan pengundi calon.

Adun Chukai itu memberitahu, pengundi politik tegar menyokong PAS manakala pengundi calon dari kalangan penyokong Umno dan atas pagar mengundi Che Long.


Jelas Hanafiah, Che Long dijangka akan solat Zohor di unit peti undi Bukit Puteri dan berehat seketika sebelum memulakan pusingan kedua di ketujuh-tujuh peti undi.

Tambahnya, Che Long akan menunggu keputusan penjumlahan undi di Markas Besar PAS PRK Kuala Besut petang ini. 

Sementara itu, sehingga 11.00 ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaporkan kira-kira 45 peratus pengundi telah keluar mengundi, namun SPR mensasarkan lebih 75 peratus yang akan keluar mengundi sehingga jam 5.00 petang nanti.

Media melaporkan pihak SPR optimis mencapai sasaran 75 peratus daripada jumlah keseluruhan 16,534 pengundi membuang undi hari ini.

No comments:

Post a Comment