Sunday 7 July 2013

BN, PAS umum calon Selasa

BN dan PAS akan mengumumkan calon mereka untuk pilihan raya kecil DUN Kuala Besut pada Selasa depan, menurut laporan akhbar hari ini.

Akhbar Sinar Harian yang memetik kenyataan menteri besar Datuk Ahmad Said menyebut, calon berkenaan akan diumumkan sendiri oleh timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ahmad Said juga yakin BN akan menang dalam pilihan raya kecil kali ini dan turut menambah jumlah majoriti undi.

“Persiapan telah dibuat. Insya-Allah boleh menang kerana kawasan berkenaan agak selamat dan kita berhadap dapat menambahkan lagi majoriti yang ada,” katanya seperti dipetik akhbar tersebut.

Laporan dalm akhbar sama turut memetik kenyataan pengarah pilihan raya kecil tersebut dari PAS, Satiful Bahri Mamat yang berkata parti itu juga akan mengumumkan calon mereka pada malam 9 Julai.

“Jadi kita mungkin akan menyelesaikan isu calon dalam masa terdekat,” katanya.

Laporan pada minggu lalu menyebut, BN mengenalpasti sekurang-kurangnya tiga individu yang mungkin akan diketengahkan sebagai calon dalam pilihan raya kecil itu.

PAS pula mungkin mempertimbangkan yang dipertua PAS kawasan Besut, Wan Azhar Wan Ahmad.

Satu lagi nama yang disebut-sebut dari PAS ialah Napisah Omar, calon Muslimat PAS yang bertanding di kawasan tersebut dalam pilihan raya umum 5 Mei.

Suruhanjaya Pilihan Raya semalam menetapkan tarikh 24 Julai untuk pilihan raya kecil DUN Kuala Besut dan 12 Julai untuk penamaan calon.

--Mkini

No comments:

Post a Comment