KUALA BESUT - Kempen calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut diperkuatkan dengan sentuhan pendekatan dua bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kerusi itu.
  
Dua bekas Adun Kuala Besut, Datuk Wan Zakaria Abdul Rahman (1979-1999) dan Abdullah Che Muda (2004), komited untuk membantu Tengku Zaihan mempertahankan kerusi itu pada PRK 24 Julai ini, yang diadakan berikutan kematian penyadangnya Dr A Rahman Mokhtar pada 26 Jun akibat kanser paru-paru.
  
"Saya dan Abdullah mempunyai strategi tersendiri untuk mendekati pengundi dan membantu kempen Tengku Zaihan yang juga sesuai dalam suasana Ramadan.
  
"Kita tidak boleh dedah macam mana kaedah kempen kita, tapi ia pastinya kempen yang lebih dekat di hati pengundi," kata Wan Zakaria kepada Bernama.
  
Wan Zakaria berkata pengalaman menghadapi PRK Kuala Besut pada 1979 boleh beliau kongsikan bersama Tengku Zaihan walaupun senario dan kempen politik hari ini jauh berubah dengan adanya medium kempen baharu.

Sebagai wakil rakyat dari 1979 hingga 1999, Wan Zakaria berkata beliau cukup arif dengan pengundi di Kuala Besut dan cara lebih berkesan untuk mendekati mereka.
  
Menurutnya strategi kempen yang digunakan BN akan menjadi penentu kepada keputusan pengundi untuk memilih siapa wakil rakyat.
  
PRK Kuala Besut pernah diadakan pada 1979 juga pada bulan Ramadan yang menyaksikan kemenangan Wan Zakaria mewakili BN mengalahkan calon Pas Husin Jusoh dengan majoriti 797 undi.
  
Wan Zakaria menegaskan Tengku Zaihan merupakan calon terbaik berdasarkan keperibadiannya, latar belakang kerjaya dan sumbangan kepada penduduk di Kuala Besut selain anak tempatan.
  
Pada PRK Kuala Besut 24 Julai ini Tengku Zaihan akan berdepan cabaran Pas yang mencalonkan seorang ahli perniagaan, Endot@Azlan Yusof. - Bernama